Latihan Bahasa Melayu Kertas 2 Bahagian A
- Selepas makan tengah hari, kami sekeluarga duduk di
ruang tamu sambil berbual-bual. Tidak lama kemudian, sebuah teksi berhenti
di hadapan rumah. Aku menjenguk
keluar. Aku
melihat…
Aku melihat…
Kata Seruan Dalam Bahasa Melayu
seperti geram, hairan, marah, takut, sakit, dan sebagainya.
Kata Seru | Penggunaannya | Ayat Contoh |
aduh | menyatakan perasaan sakit atau hairan | 1. Aduh, sakitnya kakiku! 2. Aduh, indah sungguh kawasan ini! |
cih / cis | menyatakan perasaan mengejek, tidak suka, atau marah | 1. Cih, bedebah betul budak ini! 2. Cis, nyah engkau dari sini! |
eh | menyatakan perasaan hairan atau terkejut | 1. Eh, bila kamu sampai! 2. Eh, dulu kawasan ini semak-samun. |
hai | untuk menarik perhatian atau untuk menegur seseorang | 1. Hai, jangan duduk di situ! 2. Hai, lama saya tidak melihat kamu! |
nah | untuk menarik perhatian atau memberikan sesuatu | 1. Nah, itu orangnya! 2. Nah, terimalah habuanku! |
oh | menyatakan perasaan hairan, terkejut, kecewa, dan sebagainya | 1. Oh ibu, ampunilah dosaku! 2. Oh, kamu rupanya! |
wah | menyatakan perasaan kagum | Wah, bijak sungguh budak itu! |
amboi | menyatakan rasa hairan atau kagum | 1. Amboi, murah betul barang-barang ini! 2. Amboi, manja budak ini! |
ah | untuk menyatakan tidak setuju atau menolak sesuatu | 1. Ah, saya tidak akan pergi! 2. Ah, saya tidak akan menurut kata-katanya itu! |
wahai | untuk menyatakan perasaan sedih atau untuk menarik perhatian | 1. Wahai anakku, bertaubatlah! 2. Wahai orang-orang yang beriman, kerjakanlah sembahyang! |
Tips Menjawab Bahasa Melayu UPSR
BAGI mengelakkan rasa gemuruh dan kelam-kabut sebelum menduduki peperiksaan, calon dinasihatkan datang awal ke sekolah atau dewan peperiksaan. Persediaan awal penting kerana untuk menduduki kertas Bahasa Melayu Penulisan, calon perlu benar-benar bersedia dan tenang bagi memudahkan mendapat idea bernas ketika menulis karangan.
Sebagai ulang kaji, kertas ini mengandungi tiga bahagian, iaitu Bahagian A membabitkan pembinaan ayat berdasarkan gambar, Bahagian B pula karangan, manakala Bahagian C berkaitan membuat ulasan. Ketiga-tiga bahagian ini mesti dijawab.
BAHAGIAN A
Untuk bahagian ini, calon diberi masa selama 15 minit untuk menjawab dengan peruntukan 10 markah. Untuk mendapat markah penuh tidaklah begitu susah kerana calon perlu melakukan empat langkah, iaitu:
Langkah pertama
Calon perlu mencari kunci soalan yang terdapat dalam soalan. Kunci soalan dalam Bahagian A ada tiga iaitu "tentang", "aktiviti" atau "situasi". Kunci soalan juga boleh diperoleh dalam gambar. Contohnya dalam UPSR 2008, terdapat ayat "Cara-Cara Melintas Jalan Raya Dengan Selamat". Ayat tersebut boleh calon gunakan ketika membina ayat. Walau apapun kunci soalan yang diberikan dalam peperiksaan tahun ini, calon dinasihatkan agar memulakan ayat dengan subjek (watak).
Langkah kedua
Calon hendaklah menyenaraikan semua kata kerja yang terdapat dalam gambar. Antara caranya ialah dengan membulatkan watak dalam gambar dan tuliskan kata kerja yang berkaitan. Cikgu cadangkan calon membuat lima bulatan sahaja bagi mewakili lima ayat. Senaraikan seberapa banyak kata kerja yang berkaitan.
Langkah ketiga
Calon membina ayat berdasarkan kata kerja yang disenaraikan. Dinasihatkan calon membina ayat lebih daripada lapan patah perkataan dan yang paling penting, mulakan ayat dengan subjek (watak). Selepas subjek, tulis kata kerja yang berkaitan dan akhiri ayat dengan maklumat (di mana, bagaimana dan mengapa).
Contoh: Beberapa orang murid (siapa) sedang melukis dan mewarna (kata kerja) di dalam dewan sekolah (di mana) kerana menyertai pertandingan melukis sempena Hari Kebangsaan. (mengapa) Jawapan contoh: Beberapa orang murid sedang melukis dan mewarna lukisan di dalam ketika menyertai pertandingan lukisan sempena Hari Kebangsaan.
Langkah keempat
Semak ayat yang dibina, pastikan strukturnya betul. Binalah ayat aktif dan elakkan daripada membina ayat pasif. Semak ejaan agar tidak ada yang salah. Jangan gunakan perkataan yang calon tidak pasti ejaannya.
Kesalahan ejaan boleh menjejaskan markah. Begitu juga dengan kosa kata atau perbendaharaan kata yang digunakan mestilah tepat. Contohnya, antara "memangkas" dengan "mencantas" dan "membelah" dengan "mengerat". Penggunaannya mengikut konteks ayat.
Jaga-jaga dengan imbuhan yang digunakan kerana kesalahan boleh membawa maksud yang berbeza. Contohnya, "Ayah menjual ikan" dengan "Ayah penjual ikan". Kedua-dua ayat ini membawa maksud berbeza disebabkan penggunaan imbuhan.
Akhir sekali, calon mesti berhati-hati dengan tanda baca. Pastikan ayat yang dibina bermula dengan huruf besar. Setiap ayat yang dibina mestilah mempunyai noktah. Jika calon menggunakan nama orang, pastikan perkataan awal huruf besar kerana nama orang adalah nama khas.
Gabungkan beberapa kata kerja yang disenaraikan dalam satu ayat. Contohnya, ayat di atas terdapat tiga kata kerja iaitu menyertai, melukis dan mewarna. Selain itu, calon tidak perlu mengulang kata kerja yang sama pada orang yang sama untuk ayat seterusnya. Ini dikatakan sebagai pengulangan ayat.
Seterusnya, pastikan calon membina lima ayat sahaja. Jika ruangan jawapan yang disediakan tidak cukup, mintalah kertas jawapan tambahan daripada pengawas peperiksaan. Jika tulisan kecil, calon dinasihatkan agar selang satu baris antara ayat yang dibina agar lebih kemas dan teratur.
BAHAGIAN B
Untuk menjawab soalan bahagian ini, calon perlu banyak membaca bagi menghasilkan karangan yang baik.
Masa yang diperuntukkan untuk menjawab bahagian ini ialah 40 minit. Petua untuk Bahagian B, calon mesti menggunakan FMK (Formula Menulis Karangan), iaitu kaedah menulis karangan berdasarkan perenggan 233332.
Setiap karangan mempunyai enam perenggan. 233332 bermaksud perenggan pertama dan keenam mempunyai dua ayat, manakala perenggan kedua hingga kelima, masing-masing tiga ayat.
Calon dinasihatkan agar selang satu baris antara perenggan yang dibuat agar karangan dihasilkan kelihatan lebih kemas.
Untuk menghasilkan karangan yang baik, calon haruslah melakukan empat langkah.
Langkah pertama - Pilih soalan
Calon mesti membaca semua soalan terlebih dahulu sebelum memilih soalan yang hendak dijawab. Pilih soalan yang banyak isi berdasarkan pengalaman calon agar mudah untuk menulis karangan. Ini kerana ada juga karangan yang senang tajuknya tetapi calon sukar mencari isinya.
Calon juga perlu mencari kunci soalan, kehendak soalan, format dan jenis karangan. Contohnya: Pada suatu petang, anda bersiar-siar dengan seorang rakan di tepi pantai. Tiba-tiba anda terdengar jeritan orang meminta tolong.
Ceritakan tindakan anda dan kawan anda ketika itu. Kunci soalan ini ialah "Ceritakan tindakan". Kehendak soalan ialah "menceritakan tindakan selepas mendengar jeritan", manakala format dan jenis karangan ialah cerita dan karangan tidak berformat. Langkah dicadangkan ini boleh membantu calon mengelakkan daripada menulis karangan terpesong.
Langkah kedua - Merangka karangan
Gunakan kaedah merangka karangan yang telah dipelajari sama ada "Peta Minda", "Melakar Isi" atau "Teknik Penyoalan".
Langkah ketiga - Menulis karangan
Pastikan ada enam perenggan. Pastikan juga tidak tersilap menulis perenggan pendahuluan kerana ada calon yang masukkan isi dalam perenggan pengenalan itu. Contohnya:
1. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Antaranya ialah kita dapat menambahkan ilmu pengetahuan.
2. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Kita boleh melancong di dalam atau luar negara.
Jawapan yang tepat sebagai pendahuluan adalah jawapan 2. Untuk karangan fakta, calon boleh menulis karangan dengan menggunakan kaedah ICK iaitu isi, contoh dan kesan atau IKC (isi, kesan dan contoh).
Untuk perenggan penutup, calon boleh gunakan pelbagai jenis penutup seperti dalam bentuk rumusan, nilai, pantun, penegasan, peribahasa, kata hikmah dan pendirian.
Langkah keempat - Semak karangan
Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang digunakan betul sebelum beralih untuk menjawab Bahagian C.
BAHAGIAN C
Bahagian C memperuntukkan markah sebanyak 20 dan masanya 20 minit sahaja. Oleh itu, calon mesti bijak menggunakan masa untuk menjawab soalan bahagian ini.
Konsep Bahagian C ialah mengecam nilai murni atau pengajaran yang terdapat dalam petikan diberikan. Lantaran itu, calon mesti mengecam, mencari, mengenal dan mendapatkan nilai murni atau pengajaran yang terkandung dalam petikan itu.
Calon juga mesti tahu membezakan antara perbuatan dengan nilai murni atau pengajaran. Contohnya: Abang mengucapkan terima kasih kepada adik kerana mengeluarkan barang-barang dari dalam bilik itu. Pengajaran bagi ayat ini ialah "menghargai", manakala perbuatan yang menunjukkan adanya pengajaran ialah "Abang mengucapkan terima kasih".
Membezakan antara perbuatan dengan pengajaran penting agar calon tidak tersilap mengulas pengajaran yang sepatutnya. Untuk menghasilkan jawapan yang baik, empat langkah dicadangkan iaitu:
Langkah pertama
Baca petikan sekali lalu untuk memahami kandungannya. Kemudian, baca sekali lagi dan gariskan perkataan yang menunjukkan terdapatnya nilai murni atau pengajaran. Contohnya: Zaidi selalu mengulang kaji pelajaran pada waktu malam. Perkataan yang menunjukkan ada pengajaran ialah "mengulang kaji". Walaupun perlu mengulas lima pengajaran sahaja, calon dinasihatkan agar mencari seberapa banyak pengajaran yang ada dalam petikan.
Langkah kedua
Calon perlu memilih lima pengajaran yang ingin diulas dan binalah rangka ulasan. Contohnya:
a) Pengajaran - Rajin
b) Perbuatan - mengulang kaji pelajaran
c) Mengapa - lulus periksa
Langkah ketiga
Membina ulasan lengkap, contohnya: Kita mestilah rajin dengan mengulang kaji pelajaran agar lulus dalam peperiksaan. Ulasan mesti ditulis dalam satu perenggan. Oleh itu, gunakan penanda wacana agar ayat yang dibina lebih menarik.
Langkah keempat
Semak ulasan yang telah ditulis. Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang digunakan betul.
Oleh sebab masa diberikan untuk menjawab ketiga-tiga bahagian dalam kertas ini agak singkat, iaitu 1 jam 15 minit, calon perlu bijak menguruskannya. Masa yang dicadangkan untuk Bahagian A ialah tiga minit untuk memahami gambar, lima minit tulis ayat dan dua minit untuk menyemak. Untuk Bahagian B (10 minit faham soalan dan bina rangka karangan, 25 minit hasilkan karangan lengkap dan lima minit lagi untuk semakan).
Untuk Bahagian C (lima minit cari dan senaraikan nilai murni atau pengajaran, 10 minit tulis ulasan lengkap dan lima minit lagi menyemak). Lima minit terakhir, gunakan untuk semak semua jawapan Bahagian A, B dan C.
Teknik Menjawab Soalan Bahasa Melayu Penulisan Bahagian A
Peribahasa Dalam Karangan
Peribahasa | Maksud Peribahasa |
Ada hati | Keinginan |
Alah bisa tegal biasa | Segala kesusahan tidak akan terasa lagi sesudah biasa |
Alang-alang mandi biar basah | Jika mengerjakan sesuatu janganlah sekerat jalan |
Ambil berat | Memberikan perhatian yang istimewa terhadap sesuatu |
Ambil langkah | Mula hendak bertindak |
Anak buah | Orang yang termasuk dalam sesuatu keluarga/pasukan/ terletak di bawah tenggungjawab seseorang |
Anak emas | Anak abdi yang diambil jadi anak angkat oleh suaminya; orang yang dikasihi dan diberikan layanan istimewa. |
Asam garam | Berbagai-bagai pengalaman hidup (pahit, manis, suka duka) |
Bagai anjing buruk kepala | Orang yang telah diketahui kejahatannya ke mana pergi dihinakan orang juga |
Bagai bulan dipagari bintang | Kecantikan makin terserlah apabila dikelilingi orang yang cantik. |
Bagai bulan empat belas | Peri keelokan muka perempuan |
Bagai cincin dengan permata | Sama padan, cocok benar |
Bagai layang-layang putus tali | Sudah putus harapan |
Bagai minyak dengan air | Orang bermusuhan atau tidak sehaluan mustahil dapat dicampurkan jadi satu |
Bagai murai dicabut ekor | Perempuan yang suka bercakap banyak |
Bagai pucuk dilancarkan | Sangat laju atau luncur perginya |
Bagaimana acuan begitulah kuihnya | Anak itu mengikut sikap dan rupa ibu bapanya kerana faktor baka |
Baik berjagiung-jagung sementara menanti padi masak | Sementara menunggu sesuatu yang lebih baik, yang kurang baik pun boleh dipakai dahulu. |
Baik membawa resmi padi daripada membawa resmi lalang | Semakin berilmu atau tinggi pangkat semakin merendahkan diri (tidak sombong) |
Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian | Bersusah payah dahulu kemudian baru bersenang-senang |
Berkatakanlah besar walaupun pahit | Berterus-terang demi kebenaran walaupun mungkin menyakitkan hati seseorang |
Berpeluk tubuh | Berdakap tubuh; tidak membuat apa-apa kerja |
Berpeluk tubuh | Hanya memandang dari jauh sahaja, tidak melalukakan apa-apa hanya melihat sahaja. |
Bersatu teguh bercerai roboh | Kalau kita bersatu padu, kita akan menjadi kuat tetapi kalau kita bercerai-berai, kita akan menjadi lemah. |
Bersekutu bertambah mutu | Bekerjasama antara satu sama lain akan menghasilkan kecemerlangan |
Bertangguh itu pencuri masa | Melakukan kerja secara bertangguh akan merugikan diri sendiri. |
Besar hati | Bangga, gembira, bongkak, sombong |
Biar putih tulang jangan putih mata | Lebih baik mati daripada menanbggung malu |
Buah fikiran | Pendapat |
Buah hati | Orang yang dikasihi |
Buah mulut | Percakapan orang, |
Buah tangan | Hasil pekerjaan; barang yang dibawa daripada perjalanan; ole-ole |
Bulat hati | Lurus hati, teguh hati ,sungguh-sungguh |
Dalam tangan | dalam kekuasaan seseorang |
Darah daging | Anak atau orang yang mempunyai pertalian darah |
Darah panas | Pemarah, lekas marah |
Diam-diam ubu berisi, diam-diam besi berkarat | Diam orang yang berilmu itu berfikir, sementara diam orang yang bodoh itu sia-sia sahaja |
Hancur hati | Sedih; putus asa |
Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama | Orang yang berjasa itu akan selalu disebut-sebut orang walau berapa lamapun dia telah mati. |
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih | Jika dikehendaki bermacam-macam ikhtiar boleh dijalankan dan demikian kebalikannya |
Hidup ini satu perlumbaan | Dalam kehiduoan seharian, kita terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dan berlumba-lumba untuk mencapai sesuatu tujuan. |
Hidup segan mati tak mahu | Orang yang hidup melarat |
Indah khabar daripada rupa | Khabar mengenai satu-satu perkara biasanya dilebih-lebihkan |
Jauhari juga yang mengenal manikam | Hanya orang yang bijak sahaja yang mengetahui tentang keelokan ilmu |
Kaki ayam | Tidak berkasut atau berselipar |
Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya | Mengajar seseorang itu hendaklah ketika ia masih muda, kalau sudah besar tidak akan berhasil lagi. |
Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga | Kalau pengetahuan itu sedikit, jangan hendak berbuat sesuatu yang besar |
Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya | Tidak tercapai cita-cita jika tidak berusaha |
Kancil juga lupakan jerat | Orang mudah melupakan bahaya tetapi bahaya tetap mengancam |
Kata dikota | Janji mesti ditunaikan |
Kata-kata yang lebih tajam daripada mata pedang | Perkataan yang dituturkan lebih menyakitkan |
Kebudayaan sendi perpaduan | Kebudayaan menjadi sandaran dalam menyatukan sesuatu bangsa |
Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa | Pengetahuan dan kelebihan itu tidak khusus pada orang-orang tua sahaja |
Makan angin | Bersiar-siar untuk mendapatkan angin; melapangkan fikiran |
Manis jangan terus ditelan, pahit jangan terus dibuang | Yang nampak baik itu jangan lekas diterima dan yang nampaknya buruk itu jangan lekas ditolak. |
Masa itu emas | Masa sangat berharga |
Membaca jambatan ilmu | Ilmu pengetahuan dapat ditingkatkan melalui pembacaan |
Mencari akal | Berusaha mendapatkan cara untuk mencapai tujuan |
Muafakat membawa berkat | Sesuatu kerja yang dilakukan dengan persetujuan bersama akan menghasilkan sesuatu yang baik. |
Nasi sudah menjadi bubur | Perbuatan yang sudah terlanjut; tidak dapat diubah lagi. |
Otak yang cerdas ada pada badan yang sihat | Dengan kesihatan yang baik, seseorang itu mampu mengemukakan fikiran yang bernas. |
Padang jarak padang terkukur | Padang atau tanah luas yaditinggalkan |
Putih mata | Berhiba hati menanggung rindu (seperti orang muda melihat tunangnya diambil orang) |
Putus asa | Habis harapan (tiada harapan lagi |
Rezeki kalau secupak takkkan jadi segantang | Sesuatu sudah ditentukan, tidak boleh diubah lagi. |
Ringan mulut | Peramah, lancar dan fasih tutur katanya |
Ringan tulang | Rajin bekerja, tangkas |
Sayang akan tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan | Anak yang dimanjakan dan isteri yang diuliti selalu itu akhirnya menjadi sombong |
Sepakat membawa berkat | Sesuatu pekerjaan jika dilakukan melalui pakatan atau mesyuarat akan membawa hasil yang baik |
Seperti enai dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing | Tidak muafakat dalam sesuatu perbincangan, hanya berpegang pada pendapat masing-masing sahaja |
Seperti lipas kudung | Selalu bergerak dengan cepat; pantas atau cekap membuat kerja |
Sudah terhantuk baru terngadah | Sesudah terkena baru beringat-ingat |
Tajam akal | Mudah menangkap sesuatu atau mengerti, pintar , cerdik |
Tali barut | Orang yang menjadi ampama 9penyampai rahsia orang lain), barua |
Tangan terbuka | Suka menolong orang yang dalam kesusahan, murah hati |
Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncangkan dunia | Walaupun bersifat lemah-lembut dan keibuan, wanita mampu menyumbangkan untuk membangunkan negara |
Tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain | Tempat berlakunya sesuatu peristiwa pahit lagikan dikenang inikan pula tempat berlakunya peristiwa manis. |
Terang hati | Terang fikiran; mudah mengerti |
Tulang empat kerat | Anggota badan |
Ukur baju di badan sendiri | Tiap-tiap pekerjaan itu hendaklah dipilih sesuai dengan kebolehan kita |
Umpama telur sesangkak, pecah satu pecah semuanya | Orang yang semuafakat itu sama hidup sama mati dan tidak berubah setianya. |