RSS

Kata Seruan Dalam Bahasa Melayu

1. Kata seru ialah kata yang digunakan untuk menyatakan perasaan seseorang 
    seperti geram, hairan, marah, takut, sakit, dan sebagainya.
2. Kata seru digunakan untuk membentuk ayat seruan.
Kata SeruPenggunaannyaAyat Contoh
aduhmenyatakan perasaan sakit atau hairan1. Aduh, sakitnya kakiku!
2. Aduh, indah sungguh kawasan ini!
cih / cismenyatakan perasaan mengejek, tidak suka, atau marah1. Cih, bedebah betul budak ini!
2. Cis, nyah engkau dari sini!
ehmenyatakan perasaan hairan atau terkejut1. Eh, bila kamu sampai!
2. Eh, dulu kawasan ini semak-samun.
haiuntuk menarik perhatian atau untuk menegur seseorang1. Hai, jangan duduk di situ!
2. Hai, lama saya tidak melihat kamu!
nahuntuk menarik perhatian atau memberikan sesuatu1. Nah, itu orangnya!
2. Nah, terimalah habuanku!
ohmenyatakan perasaan hairan, terkejut, kecewa, dan sebagainya1. Oh ibu, ampunilah dosaku!
2. Oh, kamu rupanya!
wahmenyatakan perasaan kagumWah, bijak sungguh budak itu!
amboimenyatakan rasa hairan atau kagum1. Amboi, murah betul barang-barang ini!
2. Amboi, manja budak ini!
ahuntuk menyatakan tidak setuju atau menolak sesuatu1. Ah, saya tidak akan pergi!
2. Ah, saya tidak akan menurut kata-katanya itu!
wahaiuntuk menyatakan perasaan sedih atau untuk menarik perhatian1. Wahai anakku, bertaubatlah!
2. Wahai orang-orang yang beriman, kerjakanlah sembahyang!

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Tips Menjawab Bahasa Melayu UPSR


BAGI mengelakkan rasa gemuruh dan kelam-kabut sebelum menduduki peperiksaan, calon dinasihatkan datang awal ke sekolah atau dewan peperiksaan. Persediaan awal penting kerana untuk menduduki kertas Bahasa Melayu Penulisan, calon perlu benar-benar bersedia dan tenang bagi memudahkan mendapat idea bernas ketika menulis karangan.


Sebagai ulang kaji, kertas ini mengandungi tiga bahagian, iaitu Bahagian A membabitkan pembinaan ayat berdasarkan gambar, Bahagian B pula karangan, manakala Bahagian C berkaitan membuat ulasan. Ketiga-tiga bahagian ini mesti dijawab.

BAHAGIAN A 
Untuk bahagian ini, calon diberi masa selama 15 minit untuk menjawab dengan peruntukan 10 markah. Untuk mendapat markah penuh tidaklah begitu susah kerana calon perlu melakukan empat langkah, iaitu:

Langkah pertama

Calon perlu mencari kunci soalan yang terdapat dalam soalan. Kunci soalan dalam Bahagian A ada tiga iaitu "tentang", "aktiviti" atau "situasi". Kunci soalan juga boleh diperoleh dalam gambar. Contohnya dalam UPSR 2008, terdapat ayat "Cara-Cara Melintas Jalan Raya Dengan Selamat". Ayat tersebut boleh calon gunakan ketika membina ayat. Walau apapun kunci soalan yang diberikan dalam peperiksaan tahun ini, calon dinasihatkan agar memulakan ayat dengan subjek (watak). 

Langkah kedua

Calon hendaklah menyenaraikan semua kata kerja yang terdapat dalam gambar. Antara caranya ialah dengan membulatkan watak dalam gambar dan tuliskan kata kerja yang berkaitan. Cikgu cadangkan calon membuat lima bulatan sahaja bagi mewakili lima ayat. Senaraikan seberapa banyak kata kerja yang berkaitan. 

Langkah ketiga

Calon membina ayat berdasarkan kata kerja yang disenaraikan. Dinasihatkan calon membina ayat lebih daripada lapan patah perkataan dan yang paling penting, mulakan ayat dengan subjek (watak). Selepas subjek, tulis kata kerja yang berkaitan dan akhiri ayat dengan maklumat (di mana, bagaimana dan mengapa).

Contoh: Beberapa orang murid (siapa) sedang melukis dan mewarna (kata kerja) di dalam dewan sekolah (di mana) kerana menyertai pertandingan melukis sempena Hari Kebangsaan. (mengapa) Jawapan contoh: Beberapa orang murid sedang melukis dan mewarna lukisan di dalam ketika menyertai pertandingan lukisan sempena Hari Kebangsaan.

Langkah keempat 

Semak ayat yang dibina, pastikan strukturnya betul. Binalah ayat aktif dan elakkan daripada membina ayat pasif. Semak ejaan agar tidak ada yang salah. Jangan gunakan perkataan yang calon tidak pasti ejaannya.

Kesalahan ejaan boleh menjejaskan markah. Begitu juga dengan kosa kata atau perbendaharaan kata yang digunakan mestilah tepat. Contohnya, antara "memangkas" dengan "mencantas" dan "membelah" dengan "mengerat". Penggunaannya mengikut konteks ayat. 

Jaga-jaga dengan imbuhan yang digunakan kerana kesalahan boleh membawa maksud yang berbeza. Contohnya, "Ayah menjual ikan" dengan "Ayah penjual ikan". Kedua-dua ayat ini membawa maksud berbeza disebabkan penggunaan imbuhan. 

Akhir sekali, calon mesti berhati-hati dengan tanda baca. Pastikan ayat yang dibina bermula dengan huruf besar. Setiap ayat yang dibina mestilah mempunyai noktah. Jika calon menggunakan nama orang, pastikan perkataan awal huruf besar kerana nama orang adalah nama khas. 

Gabungkan beberapa kata kerja yang disenaraikan dalam satu ayat. Contohnya, ayat di atas terdapat tiga kata kerja iaitu menyertai, melukis dan mewarna. Selain itu, calon tidak perlu mengulang kata kerja yang sama pada orang yang sama untuk ayat seterusnya. Ini dikatakan sebagai pengulangan ayat. 

Seterusnya, pastikan calon membina lima ayat sahaja. Jika ruangan jawapan yang disediakan tidak cukup, mintalah kertas jawapan tambahan daripada pengawas peperiksaan. Jika tulisan kecil, calon dinasihatkan agar selang satu baris antara ayat yang dibina agar lebih kemas dan teratur. 

BAHAGIAN B 

Untuk menjawab soalan bahagian ini, calon perlu banyak membaca bagi menghasilkan karangan yang baik.

Masa yang diperuntukkan untuk menjawab bahagian ini ialah 40 minit. Petua untuk Bahagian B, calon mesti menggunakan FMK (Formula Menulis Karangan), iaitu kaedah menulis karangan berdasarkan perenggan 233332.

Setiap karangan mempunyai enam perenggan. 233332 bermaksud perenggan pertama dan keenam mempunyai dua ayat, manakala perenggan kedua hingga kelima, masing-masing tiga ayat. 

Calon dinasihatkan agar selang satu baris antara perenggan yang dibuat agar karangan dihasilkan kelihatan lebih kemas. 

Untuk menghasilkan karangan yang baik, calon haruslah melakukan empat langkah.

Langkah pertama - Pilih soalan

Calon mesti membaca semua soalan terlebih dahulu sebelum memilih soalan yang hendak dijawab. Pilih soalan yang banyak isi berdasarkan pengalaman calon agar mudah untuk menulis karangan. Ini kerana ada juga karangan yang senang tajuknya tetapi calon sukar mencari isinya. 

Calon juga perlu mencari kunci soalan, kehendak soalan, format dan jenis karangan. Contohnya: Pada suatu petang, anda bersiar-siar dengan seorang rakan di tepi pantai. Tiba-tiba anda terdengar jeritan orang meminta tolong.

Ceritakan tindakan anda dan kawan anda ketika itu. Kunci soalan ini ialah "Ceritakan tindakan". Kehendak soalan ialah "menceritakan tindakan selepas mendengar jeritan", manakala format dan jenis karangan ialah cerita dan karangan tidak berformat. Langkah dicadangkan ini boleh membantu calon mengelakkan daripada menulis karangan terpesong.

Langkah kedua - Merangka karangan

Gunakan kaedah merangka karangan yang telah dipelajari sama ada "Peta Minda", "Melakar Isi" atau "Teknik Penyoalan".

Langkah ketiga - Menulis karangan

Pastikan ada enam perenggan. Pastikan juga tidak tersilap menulis perenggan pendahuluan kerana ada calon yang masukkan isi dalam perenggan pengenalan itu. Contohnya: 

1. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Antaranya ialah kita dapat menambahkan ilmu pengetahuan.

2. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Kita boleh melancong di dalam atau luar negara.

Jawapan yang tepat sebagai pendahuluan adalah jawapan 2. Untuk karangan fakta, calon boleh menulis karangan dengan menggunakan kaedah ICK iaitu isi, contoh dan kesan atau IKC (isi, kesan dan contoh).

Untuk perenggan penutup, calon boleh gunakan pelbagai jenis penutup seperti dalam bentuk rumusan, nilai, pantun, penegasan, peribahasa, kata hikmah dan pendirian.

Langkah keempat - Semak karangan

Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang digunakan betul sebelum beralih untuk menjawab Bahagian C. 

BAHAGIAN C

Bahagian C memperuntukkan markah sebanyak 20 dan masanya 20 minit sahaja. Oleh itu, calon mesti bijak menggunakan masa untuk menjawab soalan bahagian ini. 

Konsep Bahagian C ialah mengecam nilai murni atau pengajaran yang terdapat dalam petikan diberikan. Lantaran itu, calon mesti mengecam, mencari, mengenal dan mendapatkan nilai murni atau pengajaran yang terkandung dalam petikan itu. 

Calon juga mesti tahu membezakan antara perbuatan dengan nilai murni atau pengajaran. Contohnya: Abang mengucapkan terima kasih kepada adik kerana mengeluarkan barang-barang dari dalam bilik itu. Pengajaran bagi ayat ini ialah "menghargai", manakala perbuatan yang menunjukkan adanya pengajaran ialah "Abang mengucapkan terima kasih". 

Membezakan antara perbuatan dengan pengajaran penting agar calon tidak tersilap mengulas pengajaran yang sepatutnya. Untuk menghasilkan jawapan yang baik, empat langkah dicadangkan iaitu:

Langkah pertama

Baca petikan sekali lalu untuk memahami kandungannya. Kemudian, baca sekali lagi dan gariskan perkataan yang menunjukkan terdapatnya nilai murni atau pengajaran. Contohnya: Zaidi selalu mengulang kaji pelajaran pada waktu malam. Perkataan yang menunjukkan ada pengajaran ialah "mengulang kaji". Walaupun perlu mengulas lima pengajaran sahaja, calon dinasihatkan agar mencari seberapa banyak pengajaran yang ada dalam petikan.

Langkah kedua

Calon perlu memilih lima pengajaran yang ingin diulas dan binalah rangka ulasan. Contohnya:

a) Pengajaran - Rajin 
b) Perbuatan - mengulang kaji pelajaran 
c) Mengapa - lulus periksa 

Langkah ketiga

Membina ulasan lengkap, contohnya: Kita mestilah rajin dengan mengulang kaji pelajaran agar lulus dalam peperiksaan. Ulasan mesti ditulis dalam satu perenggan. Oleh itu, gunakan penanda wacana agar ayat yang dibina lebih menarik.

Langkah keempat

Semak ulasan yang telah ditulis. Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang digunakan betul.

Oleh sebab masa diberikan untuk menjawab ketiga-tiga bahagian dalam kertas ini agak singkat, iaitu 1 jam 15 minit, calon perlu bijak menguruskannya. Masa yang dicadangkan untuk Bahagian A ialah tiga minit untuk memahami gambar, lima minit tulis ayat dan dua minit untuk menyemak. Untuk Bahagian B (10 minit faham soalan dan bina rangka karangan, 25 minit hasilkan karangan lengkap dan lima minit lagi untuk semakan). 

Untuk Bahagian C (lima minit cari dan senaraikan nilai murni atau pengajaran, 10 minit tulis ulasan lengkap dan lima minit lagi menyemak). Lima minit terakhir, gunakan untuk semak semua jawapan Bahagian A, B dan C.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Teknik Menjawab Soalan Bahasa Melayu Penulisan Bahagian A

Membina ayat berdasarkan gambar

Penggunaan : Siapa?, Apa? Di mana? Bagaimana? Mengapa – Akronim – SADBM

1.Siapa?

i. Seorang budak lelaki

ii. Seorang budak lelaki yang berkemeja

iii. Seorang lelaki yang berkaca mata

iv. Seorang perempuan tua yang bertongkat

v. Seorang pemuda kurang upaya

vi. Ali dan Ahmad

vii. Ali bersama rakannya, Ahmad

viii. Ali berserta ahli keluarganya.

ix. Ali dengan dibantu oleh sahabatnya Ahmad

2. Kata Kerja

i. Menggunakan imbuhan Me-N(ayat aktif)

ii. Menggunakan imbuhan Di- (ayat pasif)

iii. 5 kata kerja yang berbeza makna

iv. kata kerja tidak boleh diulang walaupun tujuan berbeza.

3. Huraian

i. Di mana – tempat kejadian/lokasi perbuatan

ii. Bagaimana – cara perlakuan/alatan digunakan

iii. Mengapa – tujuan/kesan perbuatan dilakukan

Pastikan :

a. kata adjektif

b. kata arah

c. kata ganda

d. kata majmuk

e. kata bantu

f. kata tunggal

g. kata nama am

h. kata nama khas

i. penjodoh bilangan

j. kata sendi

k. kata bilangan

l. kata hubung

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Peribahasa Dalam Karangan

Peribahasa Maksud Peribahasa 
Ada hati Keinginan 
Alah bisa tegal biasa Segala kesusahan tidak akan terasa lagi sesudah biasa 
Alang-alang mandi biar basahJika mengerjakan sesuatu janganlah sekerat jalan
Ambil beratMemberikan perhatian yang istimewa terhadap sesuatu
Ambil langkahMula hendak bertindak
Anak buahOrang yang termasuk dalam sesuatu keluarga/pasukan/ terletak di bawah tenggungjawab seseorang
Anak emasAnak abdi yang diambil jadi anak angkat oleh suaminya; orang yang dikasihi dan diberikan layanan istimewa.
Asam garamBerbagai-bagai pengalaman hidup (pahit, manis, suka duka)
Bagai anjing buruk kepalaOrang yang telah diketahui kejahatannya ke mana pergi dihinakan orang juga
Bagai bulan dipagari bintangKecantikan makin terserlah apabila dikelilingi orang yang cantik.
Bagai bulan empat belasPeri keelokan muka perempuan
Bagai cincin dengan permataSama padan, cocok benar
Bagai layang-layang putus taliSudah putus harapan
Bagai minyak dengan airOrang bermusuhan atau tidak sehaluan mustahil dapat dicampurkan jadi satu
Bagai murai dicabut ekorPerempuan yang suka bercakap banyak
Bagai pucuk dilancarkanSangat laju atau luncur perginya
Bagaimana acuan begitulah kuihnyaAnak itu mengikut sikap dan rupa ibu bapanya kerana faktor baka
Baik berjagiung-jagung sementara menanti padi masakSementara menunggu sesuatu yang lebih baik, yang kurang baik pun boleh dipakai dahulu.
Baik membawa resmi padi daripada membawa resmi lalangSemakin berilmu atau tinggi pangkat semakin merendahkan diri (tidak sombong)
Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudianBersusah payah dahulu kemudian baru  bersenang-senang
Berkatakanlah besar walaupun pahitBerterus-terang demi kebenaran walaupun mungkin menyakitkan hati seseorang
Berpeluk tubuhBerdakap tubuh; tidak membuat apa-apa kerja
Berpeluk tubuhHanya memandang dari jauh sahaja, tidak melalukakan apa-apa hanya melihat sahaja.
Bersatu teguh bercerai robohKalau kita bersatu padu, kita akan menjadi kuat tetapi kalau kita bercerai-berai, kita akan menjadi lemah.
Bersekutu bertambah mutuBekerjasama antara satu sama lain akan menghasilkan kecemerlangan
Bertangguh itu pencuri masaMelakukan kerja secara bertangguh akan merugikan diri sendiri.
Besar hatiBangga, gembira, bongkak, sombong
Biar putih tulang jangan putih mataLebih baik mati daripada menanbggung malu
Buah fikiranPendapat
Buah hatiOrang yang dikasihi
Buah mulutPercakapan orang,
Buah tanganHasil pekerjaan; barang yang dibawa daripada perjalanan; ole-ole
Bulat hatiLurus hati, teguh hati ,sungguh-sungguh
Dalam tangandalam kekuasaan seseorang
Darah dagingAnak atau orang yang mempunyai pertalian darah
Darah panasPemarah, lekas marah
Diam-diam ubu berisi, diam-diam besi berkaratDiam orang yang berilmu itu berfikir, sementara diam orang yang bodoh itu sia-sia sahaja
Hancur hatiSedih; putus asa
Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan namaOrang yang berjasa itu akan selalu disebut-sebut orang walau berapa lamapun dia telah mati.
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalihJika dikehendaki bermacam-macam ikhtiar boleh dijalankan dan demikian kebalikannya
Hidup ini satu perlumbaanDalam kehiduoan seharian, kita terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dan berlumba-lumba untuk mencapai sesuatu tujuan.
Hidup segan mati tak mahuOrang yang hidup melarat
Indah khabar daripada rupaKhabar mengenai satu-satu perkara biasanya dilebih-lebihkan
Jauhari juga yang mengenal manikamHanya orang yang bijak sahaja yang mengetahui tentang keelokan ilmu
Kaki ayamTidak berkasut atau berselipar
Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnyaMengajar seseorang itu hendaklah ketika ia masih muda, kalau sudah besar tidak akan berhasil lagi.
Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak didugaKalau pengetahuan itu sedikit, jangan hendak berbuat sesuatu yang besar
Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunyaTidak tercapai cita-cita jika tidak berusaha
Kancil juga lupakan jeratOrang mudah melupakan bahaya tetapi bahaya tetap mengancam
Kata dikotaJanji mesti ditunaikan
Kata-kata yang lebih tajam daripada mata pedangPerkataan yang dituturkan lebih menyakitkan
Kebudayaan sendi perpaduanKebudayaan menjadi sandaran dalam menyatukan sesuatu bangsa
Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapaPengetahuan dan kelebihan itu tidak khusus pada orang-orang tua sahaja
Makan anginBersiar-siar untuk mendapatkan angin; melapangkan fikiran
Manis jangan terus ditelan, pahit jangan terus dibuangYang nampak baik itu jangan lekas diterima dan yang nampaknya buruk itu jangan lekas ditolak.
Masa itu emasMasa sangat berharga
Membaca jambatan ilmuIlmu pengetahuan dapat ditingkatkan melalui pembacaan
Mencari akalBerusaha mendapatkan cara untuk mencapai tujuan
Muafakat membawa berkatSesuatu kerja yang dilakukan dengan persetujuan bersama akan menghasilkan sesuatu yang baik.
Nasi sudah menjadi buburPerbuatan yang sudah terlanjut; tidak dapat diubah lagi.
Otak yang cerdas ada pada badan yang sihatDengan kesihatan yang baik, seseorang itu mampu mengemukakan fikiran yang bernas.
Padang jarak padang terkukurPadang atau tanah luas yaditinggalkan
Putih mataBerhiba hati menanggung rindu (seperti orang muda melihat tunangnya diambil orang)
Putus asaHabis harapan (tiada harapan lagi
Rezeki kalau secupak takkkan jadi segantangSesuatu sudah ditentukan, tidak boleh diubah lagi.
Ringan mulutPeramah, lancar dan fasih tutur katanya
Ringan tulangRajin bekerja, tangkas
Sayang akan tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkanAnak yang dimanjakan dan isteri yang diuliti selalu itu akhirnya menjadi sombong
Sepakat membawa berkatSesuatu pekerjaan jika dilakukan melalui pakatan atau mesyuarat akan membawa hasil yang baik
Seperti enai dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masingTidak muafakat dalam sesuatu perbincangan, hanya berpegang pada pendapat masing-masing sahaja
Seperti lipas kudungSelalu bergerak dengan cepat; pantas atau cekap membuat kerja
Sudah terhantuk baru terngadahSesudah terkena baru beringat-ingat
Tajam akalMudah menangkap sesuatu atau mengerti, pintar , cerdik
Tali barutOrang yang menjadi ampama 9penyampai rahsia orang lain), barua
Tangan terbukaSuka menolong orang yang dalam kesusahan, murah hati
Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncangkan duniaWalaupun bersifat lemah-lembut dan keibuan, wanita mampu menyumbangkan untuk membangunkan negara
Tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermainTempat berlakunya sesuatu peristiwa pahit lagikan dikenang inikan pula tempat berlakunya peristiwa manis.
Terang hatiTerang fikiran; mudah mengerti
Tulang empat keratAnggota badan
Ukur baju di badan sendiriTiap-tiap pekerjaan itu hendaklah dipilih sesuai dengan kebolehan kita
Umpama telur sesangkak, pecah satu pecah semuanyaOrang yang semuafakat itu sama hidup sama mati dan tidak berubah setianya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS