RSS

TEKNIK-TEKNIK PENGAJARAN BAHASA MELAYU

1.0 PENDAHULUAN

Pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu selalunya tidak menyeronokkan dan biasanya membosankan murid. Keadaan ini berlaku kerana teknik pengajaran guru yang tidak dapat menarik perhatian murid untuk terus mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran. Guru tidak menggunakan bahan bantu belajar untuk menarik minat murid dan guru biasanya mengggunakan teknik yang konvensional (cara lama) dan tidak berpusatkan murid. 

Oleh sebab itu, guru-guru haruslah menukar teknik pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dengan mengaplikasikan teknik-teknik seperti improvisasi, main peranan, teater bercerita, permainan bahasa dan bercerita. Teknik yang dicadangkan ini juga berpusatkan murid dan menggalakkan mereka menggunakan bakat, kreativiti dan pengetahuan sedia ada murid dalam menjalankan aktiviti di dalam kelas.

Pemilihan teknik haruslah berasaskan kepada kriteria tertentu seperti gaya pembelajaran murid, tajuk pengajaran, jenis pengetahuan atau kemahiran yang hendak disampaikan, tahap pencapaian murid, persekitaran pembelajaran, nilai dan sikap yang ingin dipupuk.


2.0 TEKNIK-TEKNIK PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU
Menurut Kamus Dewan (edisi keempat), teknik adalah kaedah mencipta sesuatu hasil seni seperti muzik, karang-mengarang dan sebagainya. Menurut Edward M. Anthony mendefinisikan teknik adalah satu muslihat atau strategi atau taktik yang digunakan oleh guru yang mencapai hasl segera yang maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian bahasa tertentu. 
Mengikut Kamaruddin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz dalam bukunya Pengajian Melayu III : Komunikasi Bahasa, teknik boleh didefinisikan sebagai pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjah di mana ia digunakan untuk mencapai sesuatu objektif. 
Teknik merupakan suatu alat yang digunakan oleh guru bahasa bagi menyampaikan bahan-bahan pengajaran yang telah dipilih untuk murid-muridnya. Teknik yang dipilih haruslah sejajar dengan kaedah yang digunakan dan seirama dengan pendekatan yang dianuti. 
Mengikut Azman Wan Chik (1987) teknik itu apa yang dilihat dalam bilik darjah. Kalau guru mengajar bahasa dengan menggunakan alat-alat 
komunikasi canggih dalam makmal bahasa, maka itu satu teknik. Tujuan sesuatu teknik yang guru aplikasikan di dalam bilik darjah ialah 
untuk menarik minat murid, mengekalkan perhatian, serta membangkitkan 
rasa ingin tahu murid akan sesuatu tajuk atau isi pelajaran yang akan dan 
sedang dilaksanakan.

2.1 TEKNIK IMPROVISASI
2.1.1 Pengenalan Improvisasi
Improvisasi ialah aktiviti lakonan spontan dalam situasi yang tidak dirancang. Ia boleh mengisahkan sesuatu kejadian atau situasi dalam kehidupan harian atau imaginasi. Murid berperanan mencipta dialog dan melakukan sesuatu aksi secara spontan mengikut arahan yang ditetapkan atau berdasarkan daya imaginasi atau kreativiti mereka sendiri. 
Aktiviti improvisasi dapat menjadi satu latihan untuk meningkatkan daya imaginatif dan kreatif murid dalam menggunakan bahasa yang baik dan berkesan. Aktiviti ini juga dapat melatih murid sentiasa bersedia memberikan tindak balas spontan apabila diperlukan. Improvisasi juga dapat meningkatkan daya penghayatan murid agar lebih peka terhadap objek, situasi dan peranan yang ditentukan.


2.1.2 Langkah-langkah Improvisasi
i. Guru memberi rangsangan samada berdasarkan situasi, objek watak, petikan cerita atau gambar.
ii. Murid diberi masa untuk berbincang dalam kumpulan kecil.
iii. Setelah murid benar-benar yakin , barulah mereka dikehendaki beraksi di hadapan kelas.
iv. Guru tidak perlu menyedarkan murid mengenai penonton kerana ini untuk membentuk keyakinan murid beraksi.
v. Ahli kumpulan sebaiknya ditukar ganti supaya pergaulan social murid lebih luas.
vi. Guru perlu membimbing murid dengan bijak tanpa mematahkan minat mereka untuk berimprovisasi.

2.2 TEKNIK MAIN PERANAN
2.2.1 Pengenalan Main Peranan
Main peranan merupakan satu situasi yang melibatkan murid memegang sesuatu peranan, sama ada sebagai dirinya sendiri atau individu lain, dan kemudian bertindak atau beraksi sebagaimana yang dikehendaki oleh situasi yang telah ditentukan. Main peranan kadangkala disebut juga sebagai ‘ambil peranan’ atau ‘sosiodrama’ yang mementingkan interaksi individu serta kumpulan dan dikelolakan dalam situasi kumpulan.

Main peranan sebagai individu lain memerlukan murid memainkan peranan berdasarkan tokoh, pekerjaan , kedudukannya dalam masyarakat atau pertubuhan tertentu. Oleh kerana peranan yang diberikan berbeza dari pengalamannya yang sebenar, para murid hendaklah diberi peluang menyediakan atau mendapat maklumat yang lengkap tentang peranan tersebut sama ada melalui pembacaan atau membuat rujukan kepada sumber-sumber tertentu. Di samping itu, guru boleh juga menyediakan maklumat tersebut mengikut keperluan.


2.2.2 Langkah-langkan Main Peranan
i. Guru mewujudkan satu situasi yang bermasalah yang disediakan 
ii. Guru menerangkan secara ringkas mengenai objektif lakonan, watak-watak yang terlibat dalam situasi itu dan tempoh berlakon 
iii. Guru memilih murid-murid yang berminat menjadi pelakon-pelakon.
iv. Murid-murid dikehendaki memikirkan dan mengemukakan cara penyelesaian masalah yang timbul dalam situasi . 
v. Guru berbincang dengan murid tentang prestasi pelakon-pelakon dan cara menyelesaikan masalah 
vi. Guru membimbing murid-murid membuat rumusan.


2.3 TEKNIK TEATER BERCERITA

2.3.1 Pengenalan Teater Bercerita

Melalui teater bercerita, teknik ini melibatkan beberapa orang murid yang membaca skrip sesebuah cerita di hadapan kelas. Teater bercerita mengutamakan penggunaan suara, sebutan, gerak badan dan mimik muka sahaja. Murid dapat memahami, menghayati dan merasakan cerita itu seolah-olah sedang berlaku di hadapan mereka. Murid lain boleh mencatat maklumat penting berdasarkan aktiviti yang dijalankan.
Teknik ini sesuai untuk genre drama, cerpen, dan prosa klasik.Teater Bercerita melibatkan seorang pencerita dan digabungkan dengan beberapa orang pelakon. Pencerita akan menyampaikan cerita, dan pelakon beraksi mengikut watak dalam cerita tersebut. Guru atau murid boleh menyediakan skrip terlebih dahulu. Murid lain boleh mencatat maklumat berdasarkan arahan guru. Teknik ini sesuai untuk genre drama, cerpen, novel, dan prosa klasik. Melibatkan seorang pencerita dan digabungkan dengan beberapa orang pelakon.

2.3.2 Langkah-langkah Teater Bercerita.
i. Guru atau murid boleh menyediakan skrip terlebih dahulu.
ii. Murid diberi peluang membaca cerita terlebih dahulu.
iii. Murid lain boleh mencatat maklumat berdasarkan arahan guru.
iv. Murid akan menyampaikan cerita, dan murid lain beraksi mengikut watak dalam cerita tersebut.
v. Guru dan murid memberi ulasan berdasarkan aktiviti teater bercerita tersebut.

2.4 TEKNIK PERMAINAN BAHASA
2.4.1 Pengenalan Permainan Bahasa

Permainan bahasa adalah salah satu cara dalam mempelajari bahasa melalui teknik permainan. Penglibatan dalam permainan telah memberi peluang kepada murid memperolehi latihan intensif, pembelajaran bermakna dan sebagai alat dianogstik. Kebanyakan aktiviti yang dijalankan akan menggunakan pelbagai kemahiran berbahasa murid antaranya kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. 

Teknik ini sesuai digunakan pada semua peringkat pembelajaran bahasa, iaitu daripada peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat sekolah menengah. Teknik ini juga adalah satu strategi pengajaran yang sesuai digunakan pada pelbagai tahap pencapaian murid. Permainan bahasa bukanlah merupakan aktiviti tambahan untuk bergembira semata-mata, tetapi ia boleh digolongkan dalam pengajaran dan pembelajaran yang berhasrat memberi peluang kepada murid mengaplikasikan kemahiran bahasa yang telah dipelajari di dalam bilik darjah. Permainan bahasa merupakan aktiviti yang dirancang dalam pengajaran dan ada hubung kaitnya dengan kandungan isi pelajaran secara langsung atau tidak langsung.

2.4.2 Langkah-langkah Permainan Bahasa

i. Secara Berkumpulan
Permainan bahasa boleh dilaksanakan dalam kumpulan-kumpulan kecil.. Bilangan ahli dalam satu-satu kumpulan adalah penting dalam menentukan kelancaran permainan. Jika bilangan murid dalam sesebuah kelas terlalu ramai, guru hendaklah membahagikan murid dalam banyak kumpulan.

ii. Secara Berpasangan
Aktiviti berpasangan merupakan satu bentuk gerak kerja yang efektif dalam melibatkan penyertaan murid. Permainan bahasa secara berpasangan boleh memberikan lebih banyak peluang latihan mendengar dan bertutur. Guru lebih mudah untuk mengawal pasangan murid.

iii. Secara Individu
Permainan secara individu amat sesuai untuk aktiviti pengayaan. Cara ini biasanya dilakukan untuk murid yang pintar dan cerdas serta telah menyiapkan tugas yang diberikan oleh guru dalam sesuatu masa tertentu. 





2.5 TEKNIK BERCERITA

2.5.1 Pengenalan Bercerita
Bercerita merupakan salah satu pendekatan yang sesuai digunakan untuk membina kecekapan berbahasa kerana cerita merupakan sesuatu yang dapat menarik minat dan perhatian murid. Latihan pemahaman, perluasan perbendaharaan kata dan tatabahasa dapat disampaikan. 
Bercerita juga dapat meningkatkan penguasaan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis dikalangan murid. Teknik Bercerita merupakan salah satu pendekatan yang sesuai digunakan untuk membina kecekapan berbahasa kerana cerita merupakan sesuatu yang dapat menarik minat dan perhatian murid.
Perkembangan cerita hendaklah diberi perhatian agar ada peringkat permulaan, kemuncak dan kesudahan cerita. Perhatian perlu diberi kepada teknik persembahan, suara, gerak laku dan kawalan mata. Suara memainkan peranan yang penting dimana ia harus dikawal supaya jangan mendatar dan tidak menimbulkan kebosanan. 
Teknik bercerita bertujuan untuk mencernakan daya kreatif dan imaginasi murid. Selain itu ia dapat melatih murid dengan pelbagai kemahiran dan kecekapan bahasa terutamanya kemahiran lisan iaitu mendengar dan bertutur. Guru yang menggunakan teknik ini boleh menggalakkan murid berkomunikasi dengan berkesan dari segi sebutan, nada, intonasi dan ekspresi atau mimik muka mereka.

2.5.2 Langkah-langkah Bercerita 

i. Pilih cerita yang sesuai dengan umur, kecerdasan dan minat murid- 
murid.
ii. Kemudian, sesuaikan pula dengan isi pelajaran yang hendak disampaikan.
iii. Kaji cerita itu dan cuba masukkan aspek-aspek bahasa.
iv. Hafazkan frasa atau ayat-ayat penting.
v. Latih bercerita seolah-olah guru berada di hadapan murid-murid sekurang-kurangnya sekali sebelum menggunakan teknik ini.
vi. Guru bercerita dalam keadaan yang selesa.
vii. Guru boleh menggunakan gambar, objek-objek sebenar atau lain-lain
Bahan Bantu Mengajar.
viii. Sediakan kad-kad perkataan, frasa-frasa atau ayat-ayat yang berkaitan dengan aspek-aspek bahasa yang hendak disampaikan.


3.0 TEKNIK IMPROVISASI

3.1 Pengenalan Improvisasi

Menurut Kamus Dewan ( edisi keempat) improvisasi bermaksud perihal (perbuatan) melaksanakan atau membuat sesuatu tanpa persediaan awal,secara spontan, atau dengan menggunakan bahan-bahan yang ada sahaja. 
Improvisasi sering dilaksanakan dalam pendidikan. Teknik ini digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, khususnya pengajaran bahasa. Melalui aktiviti improvisasi kanak-kanak diransang untuk berinteraksi secara spontan berdasarkan simulasi yang diwujudkan oleh guru. Kanak-kanak juga digalakkan membina dialog sendiri serta mencipta situasi yang difikirkan sesuai dengan ransangan yang disediakan. Melalui improvisasi juga, daya imiginasi dan kreativiti kanak-kanak dicerna secara maksimum.

Teknik improvisasi ialah teknik lakonan spontan yang dilakukan dengan aksi dan dialog dibina sendiri oleh pelakon/ murid. Teknik ini memerlukan murid mencipta satu idea baru berdasarkan idea yang sedia ada melalui kreativiti tersendiri. Improvisasi memerlukan murid mempunyai imaginasi dan kreativiti yang tinggi.

Menurut Som Hj. Nor (1994), Improvisasi membawa maksud bertindak balas secara spontan terhadap situasi yang tidak dijangka. Improvisasi boleh dijalankan berdasarkan situasi, gambar, watak dan petunjuk. 

Tujuan utama improvisasi adalah untuk melatih murid menggunakan unsur bahasa, unsur paralinguistik (jeda, nada dan intonasi) dan bukan linguistik (mimik muka, gerak tangan, kepala dan dll) dengan berkesan dalam sesuatu interaksi bahasa atau perbuatan. Penggunaannya dapat mendorong dan merangsang murid untuk menghubungkan perasaannya dengan matapelajaran yang dipelajarinya. Murid bebas meluahkan sesuatu, membuat penemuan, memberi dan berkongsi sesuatu. Improvisasi dapat menimbulkan keseronokan dan keberkesanan pembelajaran kepada murid, di samping dapat menyuburkan sahsiah murid.


3.2 PENDEKATAN IMPROVISASI

3.2.1 Bersedia menghadapi ketidaksempurnaan

Guru perlu bersedia menghadapi ketidaksempurnaan bila mana murid melakonkan sesuatu aksi yang tidak lengkap, tidak tersusun dari a-z dan terhenti berlakon. Jika keadaan ini berlaku, maka guru perlu bijak menyusun semula aksi dan dialog murid. Apa yang penting ialah bagaimana murid dapat mengabungkan idea dengan arahan atau rangsangan yang diberikan oleh guru secara spontan.

3.2.2 Tidak perlu pentas yang sempurna

Improvisasi tidak memerlukan dilaksanakan dengan pentas yang sempurna atau keperluan teater yang konvensional kerana kita bukan meminta murid mementaskan sesebuah teater, tetapi sekadar mewujudkan idea.


3.2.3 Menyediakan saranan

Guru selaku pembimbing perlu menyediakan saranan atau rangsangan untuk menjana idea murid dalam improvisasi.

3.2.4 Tidak perlu penonton

Murid tidak perlu disedarkan tentang kehadiran penonton yang formal. Langkah ini demi membentuk keyakinan murid. Ini kerana, murid yang belum biasa beraksi dihadapan kelas, mereka akan mudah gelabah jika aksi atau lakonan mereka dipertontonkan. Setelah murid benar-benar berasa yakin, barulah dimulai dengan perbincangan atau pasca nilai. Komen atau teguran yang positif perlu diberikan. Guru juga boleh meminta murid lain di dalam kelas memberi komen berdasarkan aksi spontan rakan mereka.


3.2.5 Aktiviti berkumpulan

Guru hendaklak menggalakkan muridmurid berkerja secara kumpulan dengan natural. Ahli kumpulan sebaiknya ditukar ganti supaya pergaulan social murid lebih luas.

3.2.6 Bijak melayani permintaan

Guru perlu bijak dan bersedia melayani permintaan kumpulan murid tanpa mematahkan minat mereka untuk beraksi secara spontan.








3.3 PERANAN IMPROVISASI

3.3.1 Meningkatkan daya imaginasi

Daya imaginasi murid dapat ditingkatkan kerana teknik ini dapat mencerna atau mencampah daya pemikiran murid ke tahap yang optimum. Improvisasi ini juga dapat menggalakkan kemahiran berfikir murid dengan lebih kreatif dan kritis. meningkatkan daya kreativiti mereka dan merangsang otak mereka untuk lebih berfikir

3.3.2 Merangsang kemahiran berbahasa

Guru dapat menggalakkan murid untuk berkomunikasi dengan berkesan di samping dapat membantu murid meningkatkan penguasaan perbendaharaan kata dalam kalangan murid. Teknik improvisasi terbukti dapat merangsang kemahiran berbahasa murid kerana teknik ini menuntut murid berdialog secara spontan. 

Dengan ini, murid perlu menguasai kemahiran berbahasa terlebih dahulu sebelum berupaya menuturkan dialog mereka. Murid berupaya menggunakan bahasa secara pragmatik iaitu bahasa yang bermakna mengikut konteks. Murid juga boleh menggunakan bahasa secara spontan dengan lebih bermakna bersesuaian dengan situasi. Aktiviti seperti ini, walaupun berjalan seperti dalam keadaan yang tidak formal , pasti dapat membantu menambahkan kemahiran berbahasa murid.

3.3.3 Mewujudkan suasana menyeronokkan.

Aktiviti improvisasi terbukti dapat mewujudkan sesi pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan dan bersahaja kerana melibatkan watak-watak dalam kalangan murid. Murid berupaya mengasah bakat terpendam mereka dengan berkalaborasi sesama ahli kumpulan dalam suasana yang ceria dan terkawal.

Berlakon merupakan satu aktiviti yang amat digemari oleh pelajar kerana ia dijalankan dalam bentuk bermain dan bersukaria. Mereka diberi peranan untuk berkata-kata secara bebas, melahirkan pandangan dan pendapat , bergaya dan beraksi sesama sendiri, berhibur dengan telatah dan gaya rakan-rakan sebaya, melibatkan diri , bekerja bersama-sama dan sebagainya. 

3.3.4 Pembelajaran kolaboratif

Pengaplikasian teknik improvisasi boleh membentuk pembelajaran murid secara kolaboratif kerana selalunya watak yang diberikan perlu dilakonkan bersama ahli dalam kumpulan masing-masing. Apabila murid membiasakan diri dengan cara bekerjasama, saling bergantung antara satu sama lain untuk memperoleh ilmu, mereka akan berkembang untuk menjadi murid kolaboratif.

3.3.5 Pengurusan masa

Pengurusan masa yang cekap dapat diterapkan melalui aktiviti improvisasi. Murid diberikan masa yang tertentu untuk mereka menunjukkan aksi secara spontan. Mereka perlu cekap bertindak menyusun strategi berdasarkan watak atau situasi yang diberikan dalam jangkamasa yang telah ditetapkan guru. 

3.3.6 Meningkatkan keyakinan diri

Improvisasi memerlukan murid beraksi di hadapan murid-murid lain. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan murid semasa melakonkan watak masing-masing. Ia juga dapat memberi satu suntikan motivasi untuk mereka terus beraksi dan ini akan membentuk pembinaan sahsiah yang positif ketika berhadapan dengan khalayak penonton.



3.4 AKTIVITI IMPROVISASI

3.4.1 Improvisasi berdasarkan situasi

Satu situasi diberikan kepada murid secara individu, pasangan atau kumpulan. Murid diminta melakonkan situasi yang diberi secara spontan.
teknik ini boleh dijalankan untuk semua peringkat umur atau aras kebolehan walaupun situasi yang sama.
contoh 1 : Situasi di sebuah kedai mainan kanak-kanak . Suatu malam semua mainan (patung orang, arnab, beruang dan lain-lain) bercakap sesama mereka.
Arahan: berbual sesama sendiri supaya pelajar lain dapat meneka siapakah anda?
contoh 2 : seorang murid baru pindah ke sekolah anda dan ditempatkan di kelas anda. Pada waktu rehat, semua pelajar ke kantin dan tempat permainan. Bagaimana anda semua melayaninya?

3.4.2 Improvisasi berdasarkan gambar

Gambar diberikan atau dipamerkan kepada murid-murid dengan meminta murid menyediakan skrip secara spontan. Murid dibenarkan berbincang di dalam kumpulan atau secara individu.

3.4.3 Improvisasi berdasarkan petikan cerita

Petikan cerita atau insiden tertentu dalam cerita yakni aksi kaku di mana murid dikehendaki melakonkan aksi berdasarkan plot. Matlamat menggunakan petikan adalah untuk menguji kefahaman murid dengan penghayatan isi kandungannya.





3.4.4 Improvisasi berdasarkan objek
Teknik menggunakan objek tertentu bagi merangsang pelajar bertutur dan melakukan sesuatu. Contoh objek yang boleh diganakan adalah seperti anak patung, surat khabar dan kostum.

3.4.5 Improvisasi berdasarkan tokoh/watak
Watak cerita binatang boleh digunakan seperti watak Sang Kancil atau tokoh seperti Hang Tuah.

3.4.6 Improvisasi berdasarkan bunyi
Bunyi-bunyi seperti lagu instrumental untuk menjana bayangan minda, lagu dengan lirik boleh diadaptasi melalui teknik ini.

3.5 JENIS-JENIS IMPROVISASI

Peter Moore ( 1998 ) menyarankan enam jenis aktiviti improvisasi untuk kanak-kanak mengikut peringkat umur. Aktiviti tersebut adalah seperti yang berikut:

3.5.1 Permainan Bebas ( Free Play )

Permainan bebas sesuai untuk kanak-kanak prasekolah dan tahap 1. Guru sediakan peralatan atau objek, sediakan situasi/ persekitaran yang tertentu dan galakkan kanak-kanak bermain secara bebas dengan dipantau oleh guru.

Guru bolehlah menciptakan senario atau cerita berdasarkan peralatan tersebut. Peringkatkan permainan dengan objek yang lebih bermakna dan berwatak seperti anak patung/ boneka, dan kostum yang dapat menyarankan perwatakan tertentu.




3.5.2 Improvisasi Spontan ( Spontaneous Improvisation )

Guru sediakan bahan ransangan tertentu untuk kanak-kanak memberikan tindak balas secara spontan berdasarkan kesesuaian denagn situasi yang diberikan. Murid-murid dibantu dan digalakkan untuk menyelesaikan masalah, membuat keputusan, mendengar serta mengamati pendapat orang lain.

Guru juga harus membantu dan menggalakkan kanak-kanak melakukan tugas secara kolaboratif, berfikir secara kreatif dan imaginatif serta melahirkan idea, dan membina idea baru berdasarkan idea orang lain.
Namun begitu perlu dingatkan bahawa improvisasi spontan bukan bertujuan untuk membuat persembahan. Perkara utama ialah menggalakkan perkongsian idea, melibatkan luahan perasaan, interaksi antara watak serta prosedur terhadap resolusi sesuatu situasi yang dihadapi.

3.5.3 Improvisasi Verbal ( Verbal Improvisation )

Kanak-kanak digalakkan untuk mencipta monolog ( soliloquise ) dan dialog berdasarkan petikan dialog dalam sesebuah cerita. Murid juga boleh menyambungkan dialog tersebut untuk menggambarkan situasi yang difikirkan sesuai seperti memujuk, merayu, mengarahkan, memohon sesuatu, dan seumpamanya dengan ekspresi dan gaya pengucapan yang sesuai. Aktiviti ini dapat dilaksanakan secara individu ( monolog / soliloquise ), berpasangan atau berkumpulan. 

3.5.4 Main Peranan ( Role Play )

Dalam aktiviti ini, murid hendaklah berpura-pura menjadi seseorang yang lain dan berlainan dengan dirinya. Mereka diberikan peranan tertentu dan meminta kanak-kanak memikirkan cara (dia) untuk beraksi dan memberikan respons terhadap sesuatu situasi.

Untuk menghayati watak yang diberikan, murid perlu dilatih untuk melakukan justifikasi terhadap watak dengan mengemukakan beberapa soalan seperti nama penuh watak, umur ,latar belakang keluarga, pekerjaan, sikap dan tingkah laku, hobi atau minat, keadaan kesihatan, dan pelbagai kemungkinan tentang peribadi watak yang di lakonkan. Disamping itu murid perlu digalakkan untuk, menulis diskripsi watak, melukis potret, dan membuat kostum dan memilih props yang sesuai untuk kegunaan watak.

Guru boleh memiilih peranan berdasarkan watak daripada orang persekitaran murid, cerita rakyat, cerita yang pernah dibaca di dalam kelas, drama atau filem yang pernah ditonton serta berdasarkan gambar.

3.5.5 Improvisasi Terlatih ( Rehearsed Improvisation )

Improvisasi ini berbeza dengan yang lain kerana improvisasi ini menggalakkan kanak-kanak membuat persembahan. Kanak-kanak diberi tajuk, tema, atau situasi tertentu untuk dibincangkan dan menghasilkan sesuatu persembahan.

Murid diberikan tempoh masa untuk perbincangan kumpulan dan selepas berbincang mereka diminta mementaskan hasil perbincangan tersebut.

3.5.6 Improvisasi Selari ( Parallel Improvisation )

Improvisasi berdasarkan situasi sebenar atau yang telah benar-benar diketahui untuk meneroka isu-isu baru.
Contohnya menggunakan pengalaman membuat persiapan untuk bercuti seperti menyediakan pakaian dan sebagainya dan menggunakan pengalaman tersebut untuk persiapan sekumpulan saintis yang hendak mengadakan ekspedisi.


3.6 PENGEMBANGAN IDEA IMPROVISASI
Alex Osborn (1963) telah menyarankan tujuh cara mengembangkan idea;
3.6.1 Diubah
Mengubah senario dalam cerita seperti dalam cerita Si Tanggang, andai jika Tanggang tidak derhaka kepada ibunya, adakah dia dan ibunya akan hidup bersama-sama hingga akhir hayat. Begitu juga seperti mengubah serita Batu Belah Batu Bertangkup, Melor dan Pekan telah mengejar ibunya hingga ke gua Batu Belah. Andaikan Melor dan Pekan dapat masuk ke dalam gua tersebut, adakah mereka Berjaya bertemu dengan ibu mereka?
3.6.2 Dikecilkan
Watak boleh dikecilkan seperti watak manusia menjadi kecil, hidup dalam habitat serangga seperti karya “ Honey! I Shrunk The Kids” dan “Rama-Rama” karya Syed Ali Syed Hassan.
3.6.3 Dibesarkan
Gambaran atau situasi diberikan seperti murid berada dalam dunia zaman dynasour. Apakah yang akan murid lakukan untuk m,enghadapi ancaman dynasour tersebut?
3.6.4 Digantikan
Watak-watak dalam cerita teladan kanakkanak boleh digantikan seperti menggantikan watak Sang Kancil digantikan dengan watak baru yang difikirkan lebih cerdik.
3.6.5 Disusun semula
Sesebuah karya disusun semula mengikut kesesuaian pada era sekarang seperti cerita Anak Buluh Betong diganti dengan Cucu Bluh Betong.

3.6.6 Diterbalikkan
Cerita atau watak cerita diterbalikkan seperti contoh:
i- Bagaimanakah kalau Pak Pandir cerdik?
ii- Ibu Bawang Putih tidak menjadi ikan kaloi?
iii- Mat Jenin mencapai cita-citanya?
3.6.7 Digabungkan
Menggabungkan beberapa idea atau senario atau cerita menjadi sebuah cerita baru.















4.0 PENGAPLIKASIAN TEKNIK IMPROVISASI DALAM PENGAJARAN 
DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU 

4.1 Rancangan Pelajaran Harian Tahun 4


RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN BAHASA MELAYU
Tarikh : 1Julai 2010
Masa : 11.00 pagi – 12.00 tengahari ( 60 minit )
Tahun : 4 Bestari ( 30 murid : 18 lelaki dan 12 perempuan)
Tema : Cerita Teladan
Tajuk : Monyet Yang Pintar
Pakej/ Modul : Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Membaca dan Menulis.
HPU : 2.0 Bercerita dan melaporkan sesuatu perkara yang 
didengar, ditonton,dibaca atau dialami

5.0 Membaca kuat dengan kelancaransebutan, intonasi 
dan gaya pembacaan yang sesuai

11.0 Membuat ulasan tentang bahan yangdidengar, ditonton 
atau dibaca


HPK : 2.1 Bercerita dengan menggunakan kata, frasa, ayatserta sebutan dan intonasi yang baik, jelas dan teratur.
5.2 Membaca kuat teks prosa dan puisi dengan sebutan dan intonasi yang betul dan lancar serta memahami perkara yang dibaca.
11.3 Mengulas karya bukan sastera yang mudah secara 
umum dari aspek tema dan persoalan, watak dan perwatakan, nilai dan pengajaran dan gaya bahasa. 

HHP : Aras 3 (i) Mempersembahkan cerita dengan sebutan,intonasi 
dan penghayatan yang sesuai.
Aras 1 (i) Membaca lancar bahan sastera dan bukan sastera 
dengan sebutan dan intonasi yang betul.
Aras 1 (ii) Mengenal pasti perwatakan dalam teks. 

Objektif : Pada akhir pembelajaran murid dapat;
1. Mempersembahkan improvisasi di hadapan kelas dengan gaya, sebutan dan intonasi yang sesuai.
2. Membaca petikan yang diberikan dengan sebutan dan intonasi yang betul.
3. Menulis 5 watak dan perwatakan dalam borang grafik yang diberikan.
Pengisian Kurikulum : 
Sistem Bahasa : 
i) Sebutan dan intonasi :ganas, mempersembahkan,
ayat penyata
ii) Tatabahasa : Simpulan Bahasa
iii) Kosa Kata : ganas, sampuk, menyerah, herdik

Kemahiran Bernilai Tambah 
i) Kecerdasan Pelbagai : Kecerdasan Linguistik, Kecerdasan 
Interpersonal, Kecerdasan Kinestetik Badan,
ii) Kemahiran Berfikir :Menyatakan sebab dan alasan
iii) Kajian Masa Depan
iv) Pembelajaran Konstruktivisme

Strategi Pengajaran dan Pembelajaran : Pendekatan Berpusatkan Murid
Kemahiran generik : Kemahiran Belajar
Penekanan Konsep 5P
i) Penggabungjalinan : kemahiran bertutur, membaca, menulis
ii) Penyerapan ilmu : Sains; Nilai murni : baik hati, kerjasama
iii) Pemulihan : Membaca petikan dialog dengan sebutan dan 
intonasi yang betul
iv) Pengayaan : Mengecam dan menulis simpulan bahasa 
berserta maksud yang terdapat dalam petikan.
v) Penilaian : Mengisi borang grafik 

Bahan Sumber Pengajaran dan Pembelajaran :
i) Bahan Multimedia :LCD, CD
ii) Bahan Bercetak :Lirik Lagu, petikan, lembaran kerja 
iii) Bahan Maujud : buah pisang, topeng binatang

Pengetahuan Perlu Ada :
i) Murid pernah membaca kisah haiwan teladan.
ii) Murid boleh menulis ayat majmuk.







AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Langkah dan Masa Isi Kandungan Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran Catatan

Set Induksi
(5 minit) 1. Kotak Ajaib
2. Teka-teki;
rasanya manis sedap sekali,
berkulit kuning banyak khasiat,
tumbuh subur di tepi kali,
dibuat kuih dibuat lepat. • Guru membacakan teka-teki kepada murid.
• Bersoal jawab dengan murid. Jawapan ada dalam kotak ajaib tersebut.
• Guru memberikan jawapan dan menunjukkan buah pisang seterusnya mengaitkan dengan isi pelajaran pada hari ini. 

Kemahiran belajar(mentafsir maklumat)
Langkah 1
(8 minit) Petikan cerita;
Monyet Yang Pintar
(Lampiran A) • Murid diberikan petikan.
• Murid membaca petikan dengan gaya dan intonasi yang betul.
• Guru meminta beberapa orang murid membaca petikan dengan kuat.
• Murid lain mendengar dan member komen mengenai intonasi dan nada.

SP:Koperatif






PP(Berpusatkan murid)



Langkah 2
(10 minit) Pengembangan idea Improvisasi;
1. Improvisasi Verbal 
( Verbal Improvisation )
• Sambung dialog

2. Improvisasi Main Peranan ( Role Play )
• Watak binatang dalam petikan
• Murid –murid dibahagikan dalam kumpulan 5 orang.
• Murid dikehendaki 
berbincang dan menetapkan setiap seorang satu watak binatang tersebut.
• Murid dibenarkan mereka sendiri dialog dengan meramalkan cerita atau menambahkan watak dalam cerita tersebut.
• Guru memberi bimbingan mengenai struktur ayat (dialog) yang dicipta murid.
PP(Berpusatkan murid)


SP:Koperatif dan Kolaboratif

KBT
-Verbal linguistik


SP:Kontek luar


Nilai: kerjasama
Langkah 3
(25 minit) Persembahan improvisasi
• Setiap ahli dalam kumpulan dikehendaki membuat persembahan dengan setiap seorang mewakili watak binatang.
• Murid dalam kumpulan lain dikehendaki memerhati setiap watak dalam improvisasi murid tadi.
• Guru memberi komen dan meminta murid lain juga memberi pandangan mereka mengenai watak dan perwatakan.
KB
(mempersembah-kan maklumat)
Langkah 4
( 7 minit) Latihan 1
Melengkapkan borang grafik (Lampiran B)
• Menulis watak dan perwatakan
• Pengayaan
- mengecam dan menulis simpulan bahasa

• Guru mengedarkan borang grafik.
• Murid diminta mengisi borang grafik tersebut berdasarkan watak dan perwatakan yang terdapat dalam teks dan juga dari improvisasi kumpulan.
• Guru berbincang dengan murid jawapan yang tepat. KB(menyatakan sebab dan alasan)


Penutup
( 5 minit ) Lagu ‘pisang goreng’
(Lampiran C)

• Murid menyanyikan lagu pisang goring
• Guru merumuskan pengajaran dan pembelajaran serta menekankan kepada aspek nilai yang terdapat semasa aktiviti hari ini. KG;TMK







5.0 PENUTUP

Improvisasi patut dilaksanakan pada pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah kerana ia ternyata membolehkan kita melatih murid-murid menajamkan sensitiviti mereka, meningkatkan kefahaman dan amalan terhadap nilai murni masyarakat dan budaya mereka, mananamkan jati diri bangsa, serta memperkembangkan daya imaginasi, kreativiti, konsentrasi, yakin diri serta kemahiran berkomunikasi.

Dengan menggunakan teknik ini, selain memberikan peluang kepada murid untuk berlakon secara spontan ia juga dapat menggalakkan murid untuk berkomunikasi dengan berkesan di samping dapat membantu meningkatkan penguasaan perbendaharaan kata mereka

Dalam proses penglibatan mereka dalam teknik improvisasi, guru boleh juga
memupuk nilai-nilai murni melalui penghayatan cerita dan memperkembangkan sikap positif terhadap pembacaan. Nilai-nilai murni yang boleh dipupuk seharusnya berkaitan dengan cerita yang mereka lakonkan di mana murid dengan sendirinya sedar akan akibat segala perbuatan yang mereka lakukan. Jadi mereka akan lebih berfikr terlebih dahulu sebelum mula membuat sebarang keputusan.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

1 comments:

Norzita Abu Bakar said...

Hebat blog cikgu. Banyak maklumat bermanfaat untuk pelajar. Teruskan menambah maklumat-maklumat lain yang lebih menarik minat pelajar untuk bertandang ke blog cikgu. Tahniah!

Post a Comment